Bantu bayi tidur nyenyak

BAYI yang kerap menangis, terbangun waktu malam atau meragam ketika tidur, sudah tentu akan meresahkan ibu bapa. Bagi ibu bapa yang berkerjaya, tentu memberi lebih kesan kerana waktu tidur mereka juga akan terganggu menyebabkan badan tidak bermaya untuk meneruskan tugas harian keesokan harinya.

Namun, kesan lebih membimbangkan ialah kesihatan bayi kerana tidur yang cukup amat penting untuk tumbesaran. Bayi yang baru lahir khususnya, pada keseluruhannya akan tidur 16 hingga 20 jam sehari dan terjaga apabila tiba waktu makan.

Bagaimanapun, setiap bayi mempunyai keunikan gaya tidur secara tersendiri. Masa terpanjang untuk bayi tidur selalunya empat hingga lima jam bergantung kepada daya tahan lapar. Tiada jadual tidur yang tetap untuk bayi yang baru lahir.

Pada biasanya, bayi akan mula mengenali waktu malam ketika berusia tiga bulan. Lebih kurang 90 peratus bayi pada peringkat itu akan tidur sepanjang malam, iaitu enam jam hingga lapan jam.

Kadangkala bayi akan menangis atau membuat bunyian jika tidak nyenyak tidur. Mereka akan terbangun dengan sendirinya ketika tidur pada waktu malam. Jika bayi menangis berterusan selama beberapa minit, anda perlu memberi perhatian. Antara faktor bayi menangis ialah mungkin lapar, basah, sejuk atau sakit.

Justeru, jika bayi bermasalah untuk tidur walaupun sudah diberi makan susu yang secukupnya, amat penting untuk anda menyelidiki apakah masalah sebenar dihadapinya. Beri perhatian dengan segera tanpa perhatian yang berlebihan kerana bayi perlu meneruskan tidurnya.

Ada beberapa cara untuk membantu bayi tidur dengan nyenyak sepanjang malam tanpa sebarang gangguan. Pertama sekali, anda boleh menidurkan bayi anda dengan mengenal pasti masa yang sesuai untuk tidur dan pastikan tempat tidur disediakan selesa, selamat serta memberi persekitaran yang menyenangkan. Hindarkan rangsangan yang berlebihan ketika menyusukan bayi di waktu malam dan ketika menukar lampin. Bayi yang baru lahir ke dunia, lazimnya masih tidak dapat menyesuaikan diri dalam suasana begitu terang, oleh itu bilik perlu digelapkan dan pastikan persekitarannya selesa dan senyap.

Pakar juga menasihatkan, supaya bayi dipangku sebelum tidur dan dialih ke katil sebelum melelapkan mata. Dengan cara itu, bayi akan belajar tidur dengan sendiri. Memainkan muzik yang berirama perlahan bila tiba waktu tidur turut membantu bayi tidur nyenyak, malah dengan muzik ia boleh membentuk jadual tidur berkala.

Selain itu, memastikan posisi tidur bayi juga adalah penting. American Academy of Paediatrics mencadangkan posisi tidur yang sihat bagi bayi adalah tidur terlentang dan bukan meniarap atau mengiring. Tetapi bayi boleh ditiarapkan ketika jaga untuk perkembangan otot, mata dan bagi mengelakkan belakang kepala bayi menjadi leper.

Kejadian kematian bayi secara mengejut (Sudden Infant Death Syndrome-SIDS) berkurangan ke 50 peratus sejak posisi tidur cara itu dicadangkan pada 1992. Bagaimanapun, posisi sedemikian dikecualikan pada bayi yang cacat di bahagian kepala atau mempunyai lidah besar yang akan menyekat pernafasan.

Untuk memberikan lebih keselesaan, bayi ditidurkan secara terlentang di atas tilam yang padat dan kemas di katil bayi mengikut tahap keselamatan terkini. Jangan gunakan bantal, pelapik tilam, selimut, permainan yang ada isian dan pengadang katil yang tidak selamat.

Bayi di bawah usia dua tahun sebenarnya, tidak memerlukan bantal untuk tidur. Malah, kanak-kanak juga sebenarnya tidak memerlukan bantal. Bagaimanapun, jika anda ingin memberinya bantal, carikan bantal bersaiz kecil (saiz bantal pesawat).

Bantal bayi juga haruslah padat manakala ringan tidak digalakkan kerana ia terlalu lembut dan boleh menyebabkan bayi anda tercekik. Namun, lebih baik jika menunggu sehingga bayi anda berpindah ke katil yang lebih besar sebelum memberinya bantal.

Jika menggunakan selimut pula, posisikan kaki bayi pada penghujung kepala katil. Selimutkan bayi dengan selimut yang nipis ke paras dadanya. Pastikan kepala bayi tidak tertutup dengan selimut apabila tidur. Elakkan menyelimuti bayi secara berlebihan dan pastikan suhu badan bayi tidak panas.

Jangan sesekali menidurkan bayi atas tilam air, sofa, tilam yang lembut, bantal atau di permukaan yang lembut. Keadaan seumpama itu tidak menjamin keselamatan bayi. Ketika tidur juga pastikan bayi memakai pakaian sesuai yang nipis dan sesuai dengan suhu bilik.

Bagi katil bayi, pakar mencadangkan ibu bapa menggunakan flanel, cadar kalis air yang lebih sejuk dan selesa berbanding plastik atau cadar getah. Anda juga perlu bijak memadankan katil bayi anda dengan usianya. Gunakan katil bayi bagi anak anda yang berunyr 24 bulan hingga 36 bulan, katil yang lebih besar bagi anak yang berusia tiga tahun hingga empat tahun dan katil bersaiz penuh bagi anak yang berusia lima tahun atau enam tahun.

Mengikut laporan, bayi yang berkongsi katil dengan orang lain boleh membahayakan bayi berkenaan. Bagi mengelakkan itu berlaku, letakkan katil bayi berdekatan dengan katil ibu bapa untuk memudahkan penyusuan ibu dan sentuhan. Jika ibu memilih untuk menyusukan bayi di atas katil, pastikan bayi tidak tidur dalam posisi meniarap di permukaan tilam yang lembut atau cadar yang tidak kemas atau longgar. Katil perlu dijauhkan dari dinding dan perabot untuk mengelakkan bayi daripada tersepit.

INFO

Mempersiapkan bilik tidur bayi:

* Pastikan tempat tidur selamat

– Pastikan tempat tidur bayi selamat dengan memberinya penghadang atau penutup yang kukuh. Periksa juga ketinggiannya supaya bayi tidak jatuh saat sudah boleh berdiri. Jarak jeriji tidak boleh terlalu kecil atau terlalu lebar untuk menghindari tersepit. Selain itu, pengunci juga hanya boleh dibuka oleh orang dewasa.

* Peredaran udara

– Pastikan bilik bayi memiliki peredaran udara yang baik supaya tidak gelap dan lembap. Sinar matahari boleh masuk dan peredaran udara berputar dengan baik.

* Sesuaikan penataan perabot bayi dengan luas bilik

– Pastikan ruang gerak ibu cukup. Jika kamar kecil, letakkan kelengkapan atau peralatan paling penting saja di dalam bilik bayi seperti tempat tidur bayi, meja ganti lampin dan kerusi menyusu. Jika bilik besar, anda boleh menambahkan perabot lain.

* Hiasan sesuai

– Jika anda sudah mengetahui jenis kelamin bayi, pilih perabot, corak dan warna sesuai jenis kelamin bayi anda. Anda boleh memilih kertas dinding yang sesuai dengan perabot kamar bayi anda. Jika anda memilih cat saja, pastikan cat berkenaan selamat untuk bayi dan tidak mengandung toksik. Supaya tampak lebih ceria, dinding dapat dilukis dengan motif lucu bersesuaian untuk anak.

* Lantai

– Pilih jenis lantai yang mudah dibersihkan. Tidak disarankan memasang permaidani dalam bilik bayi kerana ia akan menyimpan debu.

Source : Berita Harian
By : Nor Affizar Ibrahim

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s